Tuesday, July 24, 2007

CTOS LAWAN PENGGUNA. SIAPA PEMENANGNYA?


UPDATE: CTOS telah menawarkan perkhidmatan self check secara percuma. Klik di sini

Sepanjang bulan ini, antara isu yang utama negara yang dimainkan oleh akhbar-akhbar utama ialah berkenaan dengan CTOS iaitu satu agensi yang membekalkan maklumat kredit kepada agensi pembiayaan kewangan.

Pelbagai kecaman dan tohmahan yang diterima oleh CTOS daripada pelbagai lapisan masyarakat samada pengguna di jalanan dan sampai ke peringkat menteri-menteri kanan apabila ianya mula ditimbulkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk M. Kayveas. Sejurus selepas itu, Kabinet telah membincangkan isu ini di dalam mesyuarat mingguannya dan telah mengambil keputusan untuk mengkaji semula peranan agensi tersebut tetapi tidak mengarahkan ianya menggantung operasi.
Menteri-menteri lain juga sibuk mengarahkan agensi di bawah kawalan masing-masing untuk menghentikan penggunaan perkhidmatan ini dalam membuat penilaian ke atas pelanggan-pelanggannya seperti Menteri Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Koperasi telah mengarahkan MARA dan Ketua Menteri Melaka juga mengarahkan perkara yang sama kepada agensi kerajaan negeri yang berkaitan. Timblan Menteri Kewangan Dr Awang Adek juga tidak ketinggalan telah mengeluarkan arahan secara lisan kepada pihak bank supaya menghentikan prosedur ini di dalam penilaian kredit pelanggannya. Bank Negara sebagai badan yang mengawal operasi bank-bank ini terus berdiam diri sehingga sekarang.

Selain dari itu, tidak kurang dari 5 individu telah bertindak dengan menyaman CTOS atas pelbagai alasan yang berkait rapat dengan isu membekalkan maklumat peribadi seseorang secara tidak sah sehingga menafikan hak-hak mereka untuk mendapat pinjaman serta kecuaian pihak CTOS di dalam membekalkan maklumat.

Pusat Aduan Pengguna Kebangsaan (NCCC) hari ini juga menggesa pihak kerajaan menggantung operasi agensi persendirian (private agency) yang berkhidmat sebagai pembekal maklumat kredit kerana ianya telah banyak menyusahkan pengguna dan operasinya tidak berpaksikan privasi, ketepatan dan adil. Tugas ini mungkin patut dipikul oleh agensi kerajaan sahaja seperti CCRIS.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga telah memainkan peranannya setelah mendapat maklumat melalui akhbar dengan mendakwa pengarah-pengarah dan setiausaha syarikat ini dengan 85 tuduhan (sesetengah akhbar melaporkan 87 tuduhan) di bawah Akta Syarikat 1965 dengan pelbagai tuduhan.

Di dalam dunia blog, ianya cukup hebat diperkatakan dan telah mendapat pelbagai reaksi dan komen daripada blog pendatang baru ketua perusuh (maafkan saya kepada empunya blog) hinggalah ke 'prominent blogger' iaitu saudara Jeff Ooi menerusi http://www.jeffooi.com/.

Ada komen yang diterima mengatakan sekarang bukan pihak bank sahaja yang menggunakan khidmat CTOS malah kelab-kelab persendirian dan PBT juga menggunakan khidmatnya untuk mewujudkan keadaan tidak selesa kepada ahlinya atau sesiapa yang mempunyai apa-apa tunggakan bagi mendesak supaya dilunaskan apa-apa tunggakan secepat mungkin. Ini sudah lari dari matlamat asalnya iaitu memberikan maklumat kredit (Credit tip off) dan bila masa pula kelab-kelab persendirian dan PBT ini memberi kemudahan kredit kepada pengguna-pengguna. Antara reaksi lain pula ada yang menyatakan maklumat telah disalurkan secara tidak tepat atau tidak dikemaskini dan telah menjadi bebanan kepada pengguna untuk mengemaskini maklumat tersebut di pangkalan data CTOS dan telah dikenakan bayaran untuk pengemaskinian ini dan ianya tidak adil.

CTOS juga dikatakan hanya membekalkan maklumat kredit yang negatif sahaja dan saya tidak pasti sekiranya seseorang itu telah menyelesaikan kemudahan kredit lebih awal dari jadual (in advance) adakah pihak CTOS akan membekalkan positif rating kepada individu ini.


Manakala ada juga komen yang menyokong kepentingan CTOS dengan alasan pihak bank tidak mahu orang lain dibebankan dengan hutang yang dibuat oleh penghutang yang gagal menjelaskan pinjaman (kadar interest akan meningkat untuk cover hutang lapuk yang dibuat oleh loan defaulters)


Dan hari ini di dalam akhbar The Star, saya kira kemenangan tetap berpihak kepada CTOS apabila Persatuan Bank-Bank Malaysia (pelanggan utama CTOS dan seterusnya sebagai pihak yang memastikan kelangsungan agensi ini ) secara berlapik telah mempertahankan dan meneruskan penggunaan perkhidmatan agensi ini di dalam membuat penilaian kredit ke atas pelanggan.

Ini sudah dikira satu kemenangan besar kepada CTOS yang menunjukkan bahawa kewujudannya masih diperlukan di negara ini tanpa mengira ianya satu kewujudan yang popular atau tidak.